Uwais Al-Qarni Dan Ibu Tua
Yang Uzur
Uwais al-Qarni
adalah seorang daripada kalangan tabi’in yang hidup selepas kewafatan
Rasulullah ﷺ, dan dapat bertemu dengan para sahabat. Sejak dilahirkan beliau
berpenyakit sopak dan ayahnya telah meninggal dunia. Hidupnya sangat fakir dan dalam keadaan yatim. Ibunyalah yang menjaganya sejak kecil sehingga beliau
dewasa. Walaupun miskin, Uwais kaya dengan budi bahasa dan amanah.
Uwais
al-Qarni hanya tinggal bersama seorang ibu
yang sudah tua, buta dan lumpuh. Malah, ibu tua itu cuma bergantung harap pada
Uwais untuk menguruskan kehidupannya. Di situlah mereka dua beranak meneruskan
kehidupan tanpa ada sanak saudara. Tatkala ibunya memerlukan bantuan, Uwais
tidak pernah mengeluh dan akan menguruskan ibunya terlebih dahulu sebelum
membuat perkara lain.
Selain dikenali sebagai seorang anak yang taat kepada
ibunya. Uwais juga sangat taat melakukan ibadah, beliau
seringkali berpuasa dan malam hari masanya terisi dengan ibadah solat-solat sunat dan tahajud kepada Allah
SWT.
Rasulullah ﷺ pernah berpesan kepada Sayyidina
Umar r.a. dan Sayyidina Ali KaramAllahu
wajhah (k.w.): “Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan
yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman
kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia
dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. kalau berjumpa
dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”
Sayyidina
Umar dan Sayyidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah S.A.W: “Apakah
yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada
Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian.”
Memang
benarlah kata-kata Rasulullah ﷺ Uwais al-Qarni akhirnya muncul
di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Setelah puas menunggu dan mencari
kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya mereka bertemu juga
dengan Uwais al-Qarni.
Jika dilihat dari pandangan mata kasar
orang biasa, Uwais al-Qarni tiada ciri-ciri istimewa kerana dari pandangan
luaran beliau seperti orang yang tidak sempurna akal dan dianggap sebagai seorang yang kurang waras, tetapi beliau ada sesuatu yang kita tidak ketahui..
Uwais
Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak, badannya bertompok putih, yakni
putih penyakit yang tidak digemari. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan
dan bapanya telah meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Walaupun beliau
seorang berpenyakit sopak, beliau adalah seorang yang soleh yang amat mengambil
berat tentang ibunya dan beliau begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya
dan setia menjaga ibunya yang sudah uzur dan lumpuh sampai beliau dewasa.
Ibunya mempunyai hajat untuk menunaikan haji di Makkah. Namun dengan kudrat yang
sebegitu, ibu Uwais tidak mampu untuk ke Makkah berjalan seorang diri. Lalu dia
mengutarakan hasratnya kepada Uwais supaya mengikhtiarkan sesuatu agar dia
boleh dibawa ke Makkah menunaikan haji.
Sebagai
seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk
ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman
ke Makkah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’
iaitu sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas
matahari dan hujan, selesa namun harganya mahal. Uwais tidak mampu untuk
menyediakan perbelanjaan yang sedemikian. Beliau tidak memiliki unta dan juga
tidak mampu untuk membayar sewa.
Pada
suatu hari, ibu Uwais yang semakin tua dan uzur
berkata kepada anaknya: “Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama
dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”
Uwais
mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah
habis menyusu. Dia membuat sebuah pondok (rumah kecil) di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu sebuah tanah
tinggi (Dia buat pondok untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan,
pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas ‘Tilal’.
Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari ‘Tilal’ tersebut
untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia
mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan.
Perbuatan
yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras. Memang
pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari
mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit.
Namun
sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang
asalnya hanya 20 kilogram, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg.
Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah
mengangkat lembu seberat 100 kilogram turun dan naik bukit setiap hari.
Selepas
lapan bulan, apabila sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah
satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku
ibunya dari Yaman sampai ke Makkah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia
meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang
beratnya 100 kilogram boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang
lebih ringansekitar 50 kilogram.
Beliau
membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke
Makkah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan
dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari
Makkah.
Setelah
pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan
sepanjang kamu berada di Mekah?”
Uwais
menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa
ibu.”
Ibunya
bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosa kamu?”
Uwais
menjawab: “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu
redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.”
Ibunya
berkata lagi: “Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah SWT hilangkan
sakit putih (sopak) kamu ini.”
Uwais
berkata: “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau
tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah
Ta’ala.”
Ibunya
menambah: “Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu
perintahkan engkau berdoa.”
Akhirnya
Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais lalu
berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah SWT menyembuhkan tompok
putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu.
Namun
kerana beliau takut masih ada dosa pada dirinya, beliau berdoa: “Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa
hilangkan yang tompok putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.”
Maka, Allah SWT segera memakbulkan doanya dan
menghilangkan penyakit sopak di seluruh badannya kecuali meninggalkan setompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda
tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah
anugerah Dan tanda itulah yang disebutkan
oleh Rasulullah ﷺ kepada Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Ali untuk mengenali
Uwais al-Qarni.
Disebut
Rasulullah ﷺ kepada Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali: “Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu
bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais
al-Qarni.”
Tidak
lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan
ibunya. Selepas ibunya meninggal, Uwais menjadi
seorang yang soleh dan ditinggikan martabatnya di sisi Allah sehingga dia menjadi seorang
yang doanya paling makbul.
Apabila Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais al-Qarni dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ, mereka berdua pun meminta supaya Uwais mendoakan supaya dosa mereka
diampunkan Allah SWT.
Ketika
Uwais al-Qarni berjumpa Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali, beliau berkata: “Aku
ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah ﷺ kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku.”
Maka
Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.
Setelah
itu Sayyidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, bertanya
kepadanya: “Anda hendak pergi ke mana?”
“Kufah”, jawab Uwais.
Sayyidina
Umar bertanya lagi: “Mahukah aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar
melayanimu?”
Uwais
menjawab: “Berada di tengah-tengah
orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.”
Demikianlah
kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah
yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit.
Firman Allah SWT
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا
تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ
“Dan Tuhanmu telah mewajibkan
supaya tidak menyembah selain dari-Nya dan berlaku baik kepada ibu bapa.”
(Surah Al-Isra’,
ayat 23)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar