Aku syukur pada-Mu Tuhan di atas segala nikmat yang Engkau
beri. Aku bersyukur kepada-Mu lagi di atas kesyukuran itu. Kerana syukur itu
satu nikmat yang bersifat maknawi dan rohani. Ia adalah satu pemberian-MuSyukur
di atas kesyukuran. Begitu juga aku bertaubat di atas dosa-dosaku. Seterusnya
aku bertaubat di atas taubat-taubatku yang palsu. Ertinya taubatku memerlukan
taubat lagi. Taubat di atas taubat. Begitulah yang aku harapkan pada-Mu,
ingatkan aku. Bahawa syukur itu adalah satu nikmat dan anugerah-Mu. Agar aku
bersyukur di atas kesyukuran itu. Seterusnya ingatkan aku. Bahawa taubatku
adalah palsu. Agar aku bertaubat di atas taubat itu. Moga-moga aku tidak menipu
diriku.
Nabi
Musa AS memiliki umat yang jumlahnya sangat banyak dan umur mereka
panjang-panjang. Ada golongan yang kaya dan ada juga golongan yang miskin.
Suatu hari ada seorang yang miskin datang menghadap Nabi
Musa AS. Ia kelihatan begitu miskin, pakaiannya compang-camping dan sangat
lusuh berdebu.
Si miskin itu kemudian berkata kepada Baginda Musa AS, “Ya Nabi
Allah, tolong sampaikan kepada Allah SWT
permohonanku ini agar Allah SWT menjadikan aku orang yang kaya.”
Nabi Musa AS tersenyum dan berkata kepada orang itu,
“Saudaraku, banyak-banyaklah kamu bersyukur kepada Allah SWT.
Si miskin itu agak terkejut dan kesal, lalu ia berkata, ” Bagaimana aku
mahu banyak bersyukur, sedangkan aku jarang dapat makan, dan pakaian yang aku
gunakan pun hanya satu pasang ini saja! “.
Akhirnya si miskin itu pulang tanpa mendapatkan apa yang
diinginkannya. Tidak lama kemudian ada seorang kaya datang menghadap Nabi Musa
AS. Orang tersebut bersih badannya juga rapi pakaiannya.
Ia berkata kepada Nabi Musa AS, “Wahai Nabi Allah, tolong
sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar dijadikannya aku ini seorang
yang miskin, kadang kala aku merasa terganggu dengan hartaku itu.”
Nabi Musa AS pun tersenyum, lalu ia berkata, “Wahai
saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah SWT.”
“Ya Nabi Allah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Alah
SWT?. Allah SWT telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat. Telinga
yang dengannya aku dapat mendengar. Allah SWT telah memberiku tangan yang
dengannya aku dapat bekerja dan telah memberiku kaki yang dengannya aku dapat
berjalan, bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya”, jawab si kaya itu.
Akhirnya si kaya itu pun pulang ke rumahnya. Kemudian
terjadi adalah si kaya itu semakin Allah SWT tambah kekayaannya kerana ia
selalu bersyukur. Dan si miskin menjadi bertambah miskin. Allah SWT mengambil
semua kenikmatan-Nya sehingga si miskin itu tidak memiliki selembar pakaian pun
yang melekat di tubuhnya. Ini semua kerana ia tidak mahu bersyukur kepada Allah
SWT
Bila menyebut mengenai kesyukuran, tentu kita teringat
tentang firman Allah SWT di dalam sebuah Hadis Qudsi yang menyebut mengenai
sifat syukur, iaitu:
“Kalau Aku uji kamu dengan kesusahan, kamu tidak mahu
bersabar, dan kalau Aku uji kamu dengan nikmat, kamu tidak mahu bersyukur, maka
nyahlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan pergilah cari Tuhan yang lain.”
Kalau kita perhatikan hidup manusia ini dengan teliti, kita
akan dapati bahawa manusia ini sedetik pun tidak terlepas dari diuji. Manusia
diuji dengan ujian kesusahan ataupun ujian nikmat yang silih berganti
datangnya. Kemudian manusia dituntut supaya bersabar dalam menerima kesusahan
serta bersyukur dalam menerima nikmat. Jadi, pada hakikatnya, apa sahaja
pergolakan dan perubahan yang berlaku dalam hidup manusia ini, ia hanya mempunyai
dua sifat atau dua bentuk. Sama ada ia ujian kesusahan atau ujian nikmat. Atas
kedua-dua bentuk ujian ini, hati kita perlu menerimanya dengan betul, iaitu
bersabar apabila menerima kesusahan dan bersyukur apabila dikurniakan nikmat.
Di antara kedua-dua tuntutan ini, sekali imbas kita lihat,
bersabar itu lebih susah dan lebih berat untuk dipraktikkan.Ini kerana dalam
bersabar, hati manusia perlu melalui kesusahan, keresahan, tekanan dan
penderitaan. Emosi, fikiran dan ketenangan jiwa terganggu. Kebahagiaan hilang.
Bersyukur pula, pada sekali imbas, nampak lebih senang dan mudah kerana hati
manusia berada dalam keadaan tenang dan gembira; tidak ada tekanan atau
penderitaan.
Apakah ini benar? Adakah bersyukur itu lebih mudah dari
bersabar? Kalau benar kenapa tidak ramai orang yang mampu bersyukur? Kenapakah
orang-orang yang benar-benar bersyukur itu sedikit sekali bilangannya.
Kenapakah Allah ada berfirman di dalam Al
Quran: “Sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.”
(Surah As-Saba’: 13)
Bersyukur itu sebenarnya berperingkat-peringkat. Ramai
orang, apabila mendapat nikmat, lantas mereka memuji Allah. Mereka ucapkan
“Alhamdulillah”. Ini bersyukur cara biasa. Ramai yang boleh bersyukur dengan
cara ini. Akan tetapi, kalau setakat ucapan sahaja, ia belum lagi dikira
bersyukur yang sebenarnya. Kalau setakat ucapan sahaja, tetapi tuntutan
tuntutan lain dalam bersyukur itu tidak dilaksanakan, maka ditakuti ucapan
“Alhamdulillah” itu hanyalah untuk mempermain-mainkan atau mempersendakan Allah
sahaja.
Ramai juga orang, apabila menerima nikmat atau diselamatkan
dari bala bencana, lantas mereka memuji Allah dan mengucapkan “Alhamdulillah”.
Di samping itu hati mereka benar-benar merasakan Allahlah yang telah memberi
mereka nikmat itu, atau Allahlah yang telah menjauhkan mereka dari bala bencana
tersebut. Mereka diberi pahala kerana merasakan syukur itu di dalam hati
mereka. Ini bersyukur peringkat kedua.
Adapun syukur yang sebenar itu ialah syukur yang diucapkan
oleh lidah, yang dirasakan atau ditasdikkan di dalam hati, dan yang
dilaksanakan dalam perbuatan. Di samping mengucapkan “Alhamdulillah” dan di
samping merasakan di hati bahawa Allahlah yang mengurniakan nikmat tersebut,
nikmat itu mesti digunakan atau dikorbankan ke jalan Allah. Inilah hakikat
kesyukuran yang sebenarnya.
Kalau kita kaya contohnya, kekayaan itu perlu digunakan ke
jalan Allah untuk membantu fakir miskin, untuk jihad fisabilillah dan untuk
kemaslahatan umat Islam
keseluruhannya. Begitulah juga dengan segala bentuk nikmat Allah yang lain.
Semuanya perlu dimanfaatkan ke jalan Allah untuk mendapat keredhaan-Nya.
Firman Allah : Maksudnya: “Kalau kamu bersyukur atas
nikmat-nikmat-Ku, Aku akan tambah lagi nikmat-nikmat-Ku. Tetapi kalau kamu
kufur nikmat, ingatlah sesungguhnya siksa-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim:
7)
Syukur seperti inilah yang Allah suka dan yang Allah mahu.
Dia akan tambah lagi nikmat-Nya, untuk cover balik apa yang dikorbankan ke
jalan Allah itu.
Justeru itu, kita dapati dalam bersyukur itu ada tugas, ada
kerja dan ada tanggungjawabnya iaitu kita terpaksa mengguna dan mengorbankan
segala nikmat yang Allah kurniakan itu ke jalan Allah. Nikmat Allah itu perlu
ditadbir, diurus dan digunakan pada jalan yang betul. Amat mudah bagi manusia
lupa diri dan menggunakan nikmat Allah itu kepada jalan yang sia-sia atau lebih
berat lagi kepada jalan maksiat. Kalau ini berlaku maka nikmat itu akan
bertukar menjadi bala dan mendapat laknat daripada Allah.
Dalam bersabar, kita tidak ada kerja atau tanggungjawab
tambahan selain dari menahan perasaan. Tidak ada bahaya menyalahgunakan nikmat
kurniaan Tuhan. Apa yang perlu hanyalah menjaga dan mendidik hati supaya dapat
menerima ketentuan Allah itu dan berbaik sangka dengan-Nya.
Barulah kita faham kenapa Allah berfirman bahawa sedikit
sekali hamba-hamba-Nya yang bersyukur kerana bersyukur itu sendiri bukanlah
suatu perkara yang mudah.
Fahamlah kita sekarang, bersyukur itu rupanya lebih berat
dari bersabar.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar